“Lagi pun Zuki cinta pertama saya ketika saya meninggalkan kampung dan mula bekerja di bandar, Zuki lah orang pertama yang saya jumpa, dan banyak bantu saya. Kami bercinta kemudiannya tetapi terpisah bila saya dapat tawaran kerja tetap di KL. kerana di KT saya cuma pekerja sementara. Walaupun awalnya saya tolak, tetapi dengan nasihat abang serta emak dan ayah, saya terpaksa terima kata mereka demi masa depan.

“Walaupun terpisah tetapi kata Zuki tidak bermakna kasih kami terputus di tengah jalan. Dia juga galakkan saya ke KL. Mana tau satu hari nanti dia juga akan ikut saya. Jadi dengan berlapang dada saya tinggalkan Zuki dengan harapan hubungan kami tidak akan terputus, malah kami berjanji akan berkahwin selepas setahun saya bekerja tetap.

“Malangnya bila jauh di mata jauh juga di hati. Zuki semakin hari semakin renggang, akhirnya saya dapat tahu dia berkahwin dengan gadis pilihan orang tuanya. Bila balik KT saya cuba cari dia, tetapi gagal. Dia sudah bertukar tempat kerja.

“Dengan hati terluka dan hancur saya memulakan kehidupan di KL sendirian. Tetapi kesibukan kerja, kesesakan jalan raya dan keletihan bila sampai ke rumah membuat saya semakin terlupa dengan Zuki. Dua tahun kemudian apabila bertemu dengan Key keadaan mengubah segalanya. Dia pandai memujuk hati saya dan kami dengan cepat jadi kawan rapat dan akhirnya diikuti dengan perkahwinan setahun kemudian.

“Kebahagiaan yang saya harapkan akhirnya terjalin dengan Key. Kami di kurniakan sepasang anak yang comel. Saya rasa cukup bahagia. Tetapi sekali lagi saya diuji. Ketika kebahagiaan berada di puncak, saya dapat tahu Key bercinta dengan gadis lain. Sepuluh tahun zaman kebahagiaan saya hancur begitu sahaja. Dengan sekelip mata saya diceraikan.

“Hancurnya hati hanya Allah yang tahu. Kali ini lebih parah. Saya ditinggalkan dengan hutang kereta dan hutang rumah yang belum selesai. Memang masing-masing ada kereta, tetapi kereta saya masih belum selesai. Rumah yang baru dibeli lima tahun juga Key serahkan kepada saya, katanya dia tak mahu duduk apartmen.

“Ketika itu hanya Allah yang tahu betapa seksanya hidup saya jadi ibu tunggal dengan hutang keliling pinggang dan dua orang yang semakin membesar. Kalau hilang sabar mahu rasanya saya terjun lombong biar hilang semua penderitaan ini. Tetapi bila terpandang wajah anak-anak, saya jadi kaku. Nasib adik beradik beri nasihat.

“Hidup saya tenang bila adik-adik yang bekerja di KL duduk bersama saya dan bantu bayar ansuran rumah. Lega. Ini gunanya adik beradik. Tiga tahun kemudian mereka tinggalkan saya apabila masing-masing berkahwin. Tetapi ketika itu hati saya sudah pulih.

“Nak dijadikan cerita ketika usia di akhir ‘tiga siri’ ini saya berjumpa kembali dengan Zuki, kekasih lama yang ketika itu sudah ada tiga orang anak. Dia juga bekerja di pinggir KL. Dalam diam sudah empat tahun dia berpindah kerana mengikut isterinya yang bertukar kerja di KL.

“Pertemuan kami yang tidak sengaja di kompleks membeli belah membuat cinta kami mekar semula. Walaupun awalnya ada rasa benci pada Zuki, tetapi kerana kemahirannya, dia berjaya memujuk hati ini. Kami kembali bercinta.

“Dalam masa tak sampai setahun kami buat keputusan untuk berkahwin. Kawan menasihati jangan!. Adik beradik suruh fikir 10 kali sebab Zuki ada isteri dan tiga orang anak. Kata mereka adakah saya sanggup bermadu? Bermadu tak apa lagi, sanggup berperang ke? Sanggup kena maki hamun ke? Jika tidak tahan telinga, lebih baik jangan.

“Tapi entah macam mana, kerana hajat tak sampai, cinta putus di tengah jalan dan lebih penting, ingin mencari kebahagian yang tak kesampaian. Saya terima lamaran Zuki. Adik beradik tak mahu campur. Jika terjadi masalah tanggung sendiri. Masalah nak nikah kat mana? Kata Zuki itu semua soal mudah, isterinya konon dah tahu dan reda bermadu.

Terpaksa

“Memang tepat sekali, lepas tiga bulan nikah di sempadan sebab tak mahu rosakkan hati isterinya, saya lihat hubungan saya dengan Zuki memang baik, walaupun dalam seminggu dia cuma pulang ke rumah dua kali sahaja. Itu pun pada siang hari. Katanya anak-anak nak periksa jadi dia tak mahu runsingkan fikiran mereka takut pelajarannya terganggu. Saya percaya!

“Tak sampai setahun saya mengandung. Alhamdulillah! Walaupun ketika itu usia dah masuk empat siri. Semasa mengandung memang banyak dugaan.